IGA tahun lalu, ketika seorang tokoh agama Malaysia, Prof. Datuk Dr. Harun Din, melahirkan pendapat beliau secara terbuka bahawa melakonkan adegan solat, pernikahan dan kematian, haram disiarkan menerusi drama atau filem, beberapa pihak di negara tersebut cuba mempertikaikan kenyataan beliau. (lihat Berita Harian (S) Nov 20, 1995)
Para penerbit drama dan filem berhujah bahawa tujuan mereka menyelitkan adegan-adegan tersebut ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya menunaikan perintah Allah.
Sesetengah pihak menganggap teguran Prof. Harun Din hanyalah pandangan peribadi beliau. Lalu, mereka merumuskan bahawa adegan-adegan tersebut tidak salah dan wajar diteruskan selagi belum ada fatwa yang mengharamkannya.
Antara alasan yang dikemukakan ialah penerbit drama mempunyai niat baik dan adegan-adegan tersebut tidak bertujuan mempersendakan agama. Yang penting ialah keikhlasan mereka dalam menerapkan nilai-nilai murni.
Hujah tersebut tampak menarik. Tiada yang menafikan bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu berlandaskan keikhlasan dan niat baik. Namun, keikhlasan dan niat baik sahaja tidak mencukupi. Kita mesti memastikan bahawa pekerjaan yang kita buat benar-benar bermanfaat dan dapat diterima oleh masyarakat. Yang paling penting, pekerjaan itu tidak melanggar hukum syarak.
Teguran Prof. Harun Din amat dialu-alukan kerana sehingga kini belum ada tokoh agama yang berani menegur perbuatan tersebut secara terbuka.
Dari satu sudut, melakonkan adegan solat, nikah dan kematian boleh menyedarkan masyarakat. Tetapi, perkara yang menyentuh dan bercanggah dengan hukum Islam tidak boleh dianggap ringan.
Penerbit drama dan filem sering mendakwa mereka turut berperanan membina masyarakat melalui karya yang diterbitkan. Pada pandangan saya, kebanyakan penerbit filem sebenarnya lebih mengutamakan nilai komersil daripada mendidik masyarakat apabila menerbitkan sesebuah filem. Mereka lebih cenderung memegang falsafah seni untuk seni.
Jika benar drama atau filem dapat menyedarkan masyarakat, mengapa sesetengah pengarah Islam harus paparkan adegan yang jelas haram seperti berpelukan dan bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram?
Mengapa ramai pelakon wanita rela diexploit sehingga ada yang sanggup 'menggadai maruah' dan tampil dengan lagak memberahikan? Dalam sesetengah filem dan drama, adegan bercumbuan dan perzinahan dilakonkan dengan selamba tanpa berasa malu, terutama yang berunsur hiburan murahan. Inikah yang dikatakan menyedarkan masyarakat?
Para pemimpin masyarakat sering melaungkan keunggulan budaya Timur. Kita digesa melestarikan nilai-nilai murni. Pada masa yang sama, kita seolah dipersendakan oleh sesetengah penerbit filem yang secara halus (sama ada sengaja atau tidak) mencemari budaya kita yang berlandaskan nilai-nilai Timur.
Kelonggaran yang diberikan pemerintah dalam penapisan filem merupakan 'kemenangan kebebasan expresi' bagi pengusaha filem dan golongan liberal. Namun, ia melambangkan 'serangan moral yang dahsyat' bagi masyarakat majoriti yang masih konservativ.
Melalui filem dan drama yang dilabelkan sebagai R(A) dan sebagainya, kita disodorkan adegan ganas dan 'panas' yang boleh meninggalkan kesan negativ kepada penonton. Mesej murni yang ingin disampaikan (jika ada) lazimnya tenggelam apabila penonton menganggap bahawa kerosakan akhlak yang dilihatnya dalam lakonan adalah satu kebiasaan yang tak perlu dikesalkan.
Benar, kita boleh tepuk dada tanya selera. Golongan konservativ dan puritan boleh memulaukan pawagam jika mereka tidak suka cerita yang ditayangkan. Tetapi, lebih elok jika kita garuk kepala tanya minda. Mahukah kita melihat generasi dan anak cucu kita meniru gaya hidup masyarakat asing yang terlalu permisiv?
Saya menyokong pendapat Prof. Harun Din (biarpun isu ini telah lama berlalu) kerana keberanian dan kebenarannya. Saya yakin sebagai seorang tokoh agama yang berwibawa, beliau tidak akan memberikan pendapatnya secara sembarangan. Pihak yang cuba mempertikaikan kenyataan beliau sepatutnya berterima kasih atas teguran dan nasihat beliau. Usahlah meremehkan pandangan beliau dengan mengemukakan pelbagai alasan.
Apa pula alasan penerbit filem dan drama jika tokoh agama dan moralis membidas adegan-adegan lain seperti mandi berkemban, berbikini, merogol, mencabul kehormatan, berlaku curang dan segala kebejatan moral?
Adakah wajar melakonkan perbuatan tersebut atas nama seni?
Kita telah menyaksikan berulang kali kegawatan yang ditimbulkan oleh seniman dan sasterawan apabila karya mereka terbabas dan melanggar batas-batas moral. Terlalu banyak contoh dekaden yang boleh dilihat seperti kes pelakon menggunting rambut pubiknya di pentas, meminum air seninya, malah yang melukis anggota yang sepatutnya diselindungi.
Para pemimpin rohani dan moralis harus jelaskan kepada masyarakat hukum berlakon dan nilai-nilai yang perlu disemaikan oleh seniman dan sasterawan kepada masyarakat dari sudut perspektiv rohani. Mereka harus proaktiv dan berani menegakkan kebenaran.
Kita tidak perlu ghairah meniru budaya dekaden yang tidak mendatangkan manfaat. Usahlah sajikan masyarakat dengan hiburan murahan yang banyak memaparkan gaya hidup permisiv yang sarat dengan kebobrokan akhlak.
Ayuhlah kita berfikir bersandarkan kebenaran dan keredaan Tuhan, bukan bersandarkan falsafah menghalalkan yang dekaden atas nama seni.
Teguran Prof. Harun Din telah menyedarkan masyarakat Islam tentang kesilapan yang berlaku tanpa disedari. Kita tidak akan rugi apa-apa jika adegan solat, nikah dan kematian tidak disertakan dalam drama atau filem. Masyarakat Islam juga wajib diterangkan bahawa lakonan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, sebenarnya bukan budaya Islam.
Kesusasteraan dan kesenian Islam lebih mementingkan fakta dan kebenaran. Justru, demi mencipta tamadun yang lebih murni, kita perlu menghasilkan filem yang tidak mengandungi unsur-unsur kemungkaran.
Pandangan Prof. Harun Din yang ditujukan khas kepada umat Islam, wajar dianggap sebagai teguran seorang guru terhadap muridnya yang telah membuat silap.
Akhirul kalam, penerbit drama dan filem, seniman dan sasterawan, perlu dan seharusnya mendampingi tokoh-tokoh agama untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mereka, sebelum melakonkan atau membincangkan perkara yang menyentuh agama. Jangan pula kita hanya mencari mereka tika kubur kata mari.
Ditulis: 22 Dis 1995; Dihaluskini: 14 Jan 1998
Tersiar: Muslimah, Julai 1999